MENJANGKAU jumlah tontonan terkini 2.79 juta di laman sosial YouTube,
lagu Apo Kono Eh Jang ternyata mencipta fenomena sendiri di Malaysia.
Kelainan lagu yang telah mengungguli carta di beberapa stesen radio
tempatan selain menampilkan irama moden yang berbeza daripada versi asal
dendangan Ally Noor dan Mastura, lagu itu sebenarnya mengambil masa
lebih setahun untuk disiapkan sepenuhnya.
"Nampak mudah tapi sebenarnya untuk mengadunkan bunyi-bunyi moden
bersifat urban rock dan diselarikan dengan citarasa semasa bukan senang.
Lagu itu mula melalui proses prarakaman pada tahun 2010 lagi hingga
akhirnya disiapkan pada tahun lalu sebelum meletus," kata pengasas
kumpulan Stellar, Badrul Hisham Abdullah (gitaris) atau mesra dipanggil
Bad.
Hakikat bahawa populariti kumpulan yang terdiri daripada empat anak
muda antara lainnya Mohd. Helmi Abdul Rahim (vokalis), Mohd. Herwan
Sairon (bass) dan Mohd. Azrul Hayat Ismail (drum) tidak sehebat kejayaan
lagu Apo Kono Eh Jang diakui mereka.
Tumpang populariti
Menurut Bad, dia percaya akan kekuatan lagu itu yang ternyata menarik
didengari dan senang masuk ke dalam jiwa peminat, namun populariti
kumpulannya bukan prioriti sementelah kemasyhuran itu datang sepantas
kilat.
"Keutamaan kami adalah lagu bukannya latar belakang kami. Apabila
orang mengenali lagu dan muzik itu popular, dengan sendirinya orang akan
mula mengenali kami.
"Formula ini kami akan praktikkan untuk lagu-lagu seterusnya dan
berani mencuba sesuatu yang baharu," katanya yang juga muncul dengan
lagu rakyat negeri Perak, Wan Lebur bersama Usop Wilcha.
Ditanya adakah mereka menumpang populariti Datuk AC Mizal dan Fida
apabila lagu Apo Kono Eh Jang turut melibatkan kolaborasi kedua-dua
selebriti itu, kata Badrul, mereka mempunyai agenda sendiri.
"Masing-masing ada perancangan karier termasuk AC Mizal dan Fida.
Mereka pun ada strategi tersendiri selepas lagu ini popular begitu juga
kami.
"Lagipun, lagu ini pada mulanya kami yang gubah dan idea asal datang
daripada Stellar. Kami setuju untuk membuang rasa ego untuk
berkolaborasi dengan AC Mizal dan Fida, malah kami juga pernah membuat
persembahan tanpa mereka berdua, jadi tiada isu tumpang populariti
sesiapa," ujarnya.
Kolaborasi bersama AC dan Fida adalah cetusan idea oleh Sheikh Qalam
Records Sdn. Bhd. dan ledakan populariti lagu Apo Kono Eh Jang menjadi
bonus apabila kedua-dua penyanyi itu berasal dari Negeri Sembilan.
Rap minang
Antara faktor Apo Kono Eh Jang menjadi popular kerana keunikan lirik
rap dialek Minang oleh AC. Kata Bad lagi, selain lirik yang menyampaikan
mesej mendalam dan bermakna, rap minang itu juga merupakan pembaharuan
dalam dunia seni suara.
"Lagu itu jadi sedap kerana rap Minang, tidak dinafikan kolaborasi
bersama AC Mizal menjadi. Biarpun lirik dialek Minang itu sukar
difahami, ia tidak menjadi halangan untuk lagu itu terus berkembang,"
jelasnya.
Sementara itu, Bad turut menjawab dakwaan bahawa lagu itu mengandungi
lirik berbaur lucah dan kasar sekali gus dilihat suatu percubaan untuk
melacurkan bahasa serta menyampaikan mesej tidak sihat.
"Memang pada mulanya kami khuatir lagu ini akan diharamkan tapi
itulah yang dikatakan lagu rakyat dan kerisauan sentimen bahasa itu
memang tidak diragui.
"Saya rasa populariti telah mengatasi masalah itu dan perkataan yang
digunakan bukan bahasa yang kasar dan lucah. Telanjang contohnya lebih
sopan berbanding bogel.
"Bahasa negeri yang dirapkan bukan menjadi satu isu untuk
diperdebatkan kerana itu keunikan dan promosi tidak langsung Negeri
Sembilan kepada orang luar," hurainya.
Stellar ditubuhkan selepas kumpulan The Muffins terkubur pada tahun
2008. Kumpulan itu pernah menerbitkan sebuah album EP berjudul Cinta
Hingga Ke Hujung Galaksi pada tahun 2009 dan sebuah album penuh Kisah
Bintang Pecinta (2010).
Kini, mereka dalam proses untuk merakamkan semula lagu hit Wings,
Peronda Jaket Biru serta sebuah single daripada album EP, Cinta Hingga
Hujung Galaksi. - KHAIRUL AMRI HASSAN